Saturday, January 30, 2010

Kedai lama di jalan lama

Kalau kita memandu dari KL ke Ipoh, melalui jalan lama, kita pasti akan melalui deretan kedai kedai lama, antara Gopeng, Kampung Kepayang dan Simpang Pulai. Keadaan kedai tersebut kini sangat daif dan uzur, tetapi mempunyai aura dan tarikan tersendiri, juga bernostalgia.
Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri Perak untuk mengambil alih deretan kedai ini, baik pulih dan jadikan kawasan pelancongan. Pelancongan yang bagaimana? Saya namakan pelancongan ke masa silam.
Deretan kedai ini hendaklah dibaik pulih mengikut keadaan asal, dan di cat semula dengan cat yang bersesuaian dengan zaman yang ingin kita tonjolkan. Contohnya keseluruhan kawasan ini akan menjadi kawasan yang berlatar belakangkan tahun 60 an, maka cat dan gubahan, olahan hendaklah bertemakan tahun 60 an. Deretan kedai ini samada disewakan atau diusahakan secara keseluruhan oleh syarikat swasta atau oleh kerajaan negeri sendiri.
Apabila kawasan ini di wartakan sebagai 'Kembali ke tahun 60an' , semua hotel, kedai runcit, emporium, kelab malam, kedai basikal, kedai perabot, motor, restauran dan sebagai nya hendaklah diserikan atau di gubah dan diisi oleh perkakasan dari tahun 60an. Ini termasuklah TV, peti ais, kenderaan sekitaran, telefon, fesyen baju pekerja, hatta siaran tv juga boleh dikhususkan untuk kawasan ini mengikut format dan tarikh tahun 60 an. Contohnya 30-01-2010 (masa sekarang), maka tarikh dikawasan ini haruslah 30-01-1960,1,2,3....
Segala yang berkaitan dengan tarikh lama ini mestilah dipenuhi dengan teliti, termasuklah apa jua surat khabar yang terbit pada tarikh ini atau majalah dan aktiviti yang berlansung pada tarikh ini.
Dari susur keluar highway akan ada sign board seperti "Susur keluar ke tahun 1960an". Pelawat boleh keluar dan terus ke kawasan ini (mungkin tiket boleh didapati di plaza tol) dan boleh mendapatkan hotel hotel fesyen lama di kawasan ini. Tiada handhone, tiada wifi dan apa jua yang berkaitan zaman ini, di kawasan ini.
Mungkin juga kawasan ini bakal muncul sebagai pusat antik seMalaysia, dimana pengusaha atau saudagar barang purba boleh membuka kedai di sini. Boleh juga menjadi pusat membaik pulih kenderaan lama seperti basikal lama, motor lama dan kereta lama. Haruslah ada usaha dari pengurusan kawasan ini untuk mendapatkan pembekal pembekal "spare part' lama yang menjadi kegilaan pengumpul barang lama, dan pasti ianya akan menjadi buat mulut kerana konsep yang unik ini.
Saya amat berharap jika ada pihak yang sudi merealisasikan ide ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment